October 21, 2011

Kenyataan Aziz Bari mengelirukan dan bercanggah

1. Saya telah membaca teks penuh titah Sultan Selangor mengenai tindakan yang  dilakukan oleh JAIS terhadap gereja DUMC. Teks ini boleh dibaca di bawah ini :-

Teks titah Sultan Selangor terhadap tindakan JAIS keatas gereja DUMC

Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor amat mengambil berat di atas tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasan, Jabatan Agama Islam, Selangor (JAIS) yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas majlis ‘Thanksgiving Dinner’ yang diadakan di Dewan 3, Kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2011 yang lalu.

Beta amat berharap agar rakyat Negeri Selangor tanpa mengira bangsa dan agama tidak menyalahanggap dan mempertikaikan tindakan JAIS tersebut sebelum mengetahui dengan jelas fakta sebenar mengenai tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS.

Sebagai sebuah Jabatan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Islam dalam Negeri ini, JAIS mempunyai tugas yang berat untuk memastikan Agama Islam dalam Negeri Selangor ini sentiasa dipelihara dan dimartabatkan selaras dengan kedudukan Agama Islam sebagai agama Negeri Selangor di bawah Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 dan juga agama Persekutuan di bawah Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta laporan penuh mengenai pemeriksaan yang telah dijalankan di kompleks Dream Centre, Seksyen 13, Petaling Jaya tersebut dan juga tindakan susulan yang telah diambil oleh JAIS.

Beta sendiri telah meneliti laporan tersebut dengan terperinci dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Selangor ini.

Tindakan JAIS tersebut adalah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988.
Agama Islam yang diamalkan dalam Negeri Selangor ini adalah sebuah agama yang penuh toleransi. Penganut agama Islam sentiasa dipupuk agar menghormati penganut-penganut agama lain. Walaupun begitu, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan untuk cuba mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.

Ini adalah selaras dengan Fasal (1) dan (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988 yang tidak membenarkan pengembangan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam.
Perkara XLVII Undang-Undang Tubuh, Kerajaan Selangor 1959, Fasal (1) Perkara 3 dan Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing dengan aman dan harmoni.

Hak kebebasan tersebut telah pun berjalan dengan penuh harmoni dalam Negeri ini. Beta amat berharap keharmonian tersebut yang telah wujud sekian lama terus dikekalkan. Peliharalah hak dan agama masing-masing dan jangan sekali-kali cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman dan kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam.

Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam. Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.

Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun Beta menitahkan JAIS memberikan kaunseling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipulihkan.
Beta juga menitahkan JAIS supaya menjalankan aktiviti dakwah terhadap orang Islam dengan lebih kerap dan tersusun supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Agama Islam dapat dipelihara dan dipertingkatkan.

Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan.

Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba untuk melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini.

Beta menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS supaya sentiasa mengadakan pemantauan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa perlu teragak-agak lagi selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengambil berat berkaitan isu ini dan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada JAIS.

D.Y.M.M. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Sultan Selangor
2. Teks kenyataan Sultan Selangor dibuat dengan selengkap yang mungkin. Ini merangkumi sejarah kejadian, fakta kejadian, rumusan kejadian dan undang-undang yang berkaitan dengan kejadian. Semuanya disertakan dengan lengkap.
 3. Kemudian datang pula seorang Professor dari UIA yang mengajar Undang-Undang yang bernama Aziz Bari membuat kenyataan terhadap titah Sultan. Beliau berkata bahawa "tindakan Sultan campur tangan dalam isu ini adalah diluar kebiasaan" dan pada masa yang sama, beliau mengakui akan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam . Aziz Bari juga berkata Sultan perlulah bertindak mengikut selaras dengan ajaran islam.
4. Tolong perhatikan perkatan yang ditanda merah diatas yang telah dikeluarkan oleh Aziz Bari. Bandingkan pula dengan kenyataan Sultan Sharafuddin. Mari kita gunakan akal kita untuk berfikir secara rasional dan berfakta.
5. "Campur Tangan": Bagaimana Aziz Bari boleh berkata Sultan campur tangan ?  bukankah Sultan adalah ketua agama ?  Aziz Bari pun setuju bahawa Sultan adalah ketua agama. Kata-kata beliau bercanggah antara satu dgn yang lain. Keduanya, adakah Aziz Bari tahu kronologi peristiwa ini ? Siapa yang buat laporan ? jawapanya adalah JAIS. Kenapa JAIS buat laporan ?  sbb kerajaan negeri mengarahkanya. Kepada siapa laporan diberikan ? JAIS telah serahkan kepada Menteri Besar. Laporan juga diserahkan kepada Sultan. 
6. Adakah bagi Aziz Bari, apabila Sultan menerima laporan, beliau perlu duduk diam dan buang laporan kedalam tong sampah ? sebab kalau Sultan membuat kenyataan terhadap laporan ini nanti Aziz Bari kata Sultan masuk campur. Ehh... bukankah Sultan Kuasa Agama ? Ehh.... bukankah kerajaan negeri yang beri laporan kpd Sultan ?
7. "di luar kebiasaan" : Kenapa diluar kebiasaan ? bila laporan diberikan yang selari degan kuasa yang ada pada sultan, bukankah sultan perlu menjawab ? Mungkinkah bagi Aziz Bari, kalau Sultan buang laporan dalam tong sampah dan berdiam diri......itu baru satu kebiasaan ?
8. "selaras dengan ajaran islam" : Apakah yang dimaksudkan oleh Aziz Bari selaras dengan ajaran islam ? Adakah kenyataan Sultan yang dibuat diatas bidang kuasa baginda itu bercanggah dengan ajaran islam ? Boleh Aziz Bari bagitahu, hukum islam yang mana bercanggahnya tindakan sultan ini ?
9. Ataupun, adakah sekiranya selepas Sultan menerima laporan, Sultan berdiam diri dan buang laporan kedalam tong sampah ... baru dikira selaras dengan ajaran islam ? Atau adakah kalau Sultan memutar belit laporan JAIS baru dikira sebagai selaras dengan ajaran islam ? 
10. Aziz Bari perlu tahu bahawa, Islam mengajar umatnya berkata benar dan sentiasa bertindak diatas kebenaran. Islam juga menajar umatnya agar bertanggungjawab apabila diberi tanggungjawb. Sultan bertanggungjawab sebagai Ketua Agama Negeri, oleh itu Sultan perlu laksanakan tanggungjawab baginda. Tidak melaksanakan tanggungjawab adalah salah. Adakah Aziz Bari keliru dengan ajaran islam ?
11. Dalam teks titah Sultan, baginda bercakap berasaskan peruntukan undang-undang dan bukanya pendapat peribadi. Sultan mengakui bahawa JAIS bertindak diatas peruntukan undang-undang seperti Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor, 1988.
12. Adakah Aziz Bari sebagai pensyarah Undang-Undang tidak mengetahui undang-undang, perlembagaan dan enakmen-enakmen yang ditulis diatas ? 
 

2 comments:

Pak Pandir said...

..kalau sudah jadi BARUA DSAI dan DAP maka orang cerdik pun akan jadi banggang.

Politicalamity9 said...

oxymoron people goes hand in hand with oxymoron statements.