March 19, 2008

Hilangkah Kepentingan Melayu dan Islam ?

Keputusan pilihanraya yg ke 12 baru-baru ini sebenarnya membawa implikasi yang besar kepada bangsa melayu dan agama islam. Bagi saya, ia sepatutnya membuka mata kita dan menyedarkan kita kepada konsep perjuangan sesebuah parti politik.

Semenjak ditubuhkan, objektif parti UMNO secara ringkasnya adalah untuk memartabatkan bangsa melayu, agama islam dan negara malaysia. Perjuangan parti UMNO adalah demi agama, bangsa dan negara. Ianya menitikberatkan soal-soal menjaga kepentingan melayu, kesucian agama islam dan sekaligus memakmurkan negara Malaysia. Melalui gabungan dari beberapa parti berasaskan kaum yang lain yang dinamakan komponen Barisan Nasional, kesefahaman dan semangat perpaduan sesama kaum dijalinkan dan membawa kepada kehidupan yang harmoni bagi semua lapangan masyarakat. Semenjak 1969, kesepakatan ini berjaya dikekalkan dan walaupun mungkin terdapat beberapa insiden-insiden atau cubaan-cubaan untuk merosakkan persefahaman ini, tetapi ianya akan cepat diatasi dan diperbaiki oleh pemimpin negara. Atas persepakatan inilah, majoriti rakyat bersetuju terhadap dasar-dasar yang telah dibentuk oleh kerajaan dan semua pihak menerimanya dengan baik.

Apakah yang boleh dilihat melalui keputusan pilihanraya terhadap dasar-dasar parti seperti PAS, DAP dan PKR. Bagi pendapat peribadi saya, keputusan pilihanraya ini terutama di negeri-negeri yang tidak dikuasai oleh BN menunjukkan bagaimana sesetengah pihak mementingkan kuasa dan politik melebihi kepentingan agama dan bangsa. Sebagai contoh, parti PAS. Cuba kita lihat senario di Perak dan Selangor. Adakah PAS mementingkan agama dan bangsa atau lebih mementingkan kuasa politik semata-mata ? Melalui apa yang berlaku di Perak dan Selangor, bagi saya ianya jelas menunjukkan PAS ataupun PKR lebih mementingkan kuasa politik dan sanggup memperjudikan bangsa dan agama semata-mata untuk berkuasa.

Umum sedia maklum mengenai dasar-dasar dan objektif DAP. Ianya boleh dilihat melalui laman web mereka. Mereka secara terang-terangan menunjukkan sikap menafikan kesepakatan dan persetujuan yang telah dibuat semasa negara mencapai kemerdekaan. Secara ringkasnya, melalui tindakan-tindakan mereka, DAP adalah parti yang anti kepada hak-hak melayu, anti kepada kelebihan yang diberikan kepada bangsa melayu dan mereka juga anti kepada pentadbiran-pentadbiran yang berlandaskan islam sehingga keluar kata-kata seperti "langkah mayat dahulu kalau ingin jadikan negara ini negara islam ". Secara ringkasnya mereka adalah anti-melayu dan anti-islam. Mengapakah parti PAS ini sanggup bersekongkol dengan DAP ? Mungkinkah bagi PAS, kepentingan terhadap bangsa melayu dan agama islam tidak penting ? Kenapa mereka sanggup lacurkan agama dan bangsa semata-mata untuk memegang tampuk kuasa ? Mungkinkah mereka beranggapan, biarlah apa-apa yang terjadi kepada bangsa melayu dan agama islam, yang penting mereka dapat menumbangkan BN dan dapat memegang kuasa.

Sebelum ini, PAS sering mengatakan parti BN tidak islamik, membiarkan kilang arak tersergam megah, membiarkan pusat-pusat judi, pusat-pusat hiburan dan maksiat berleluasa dan sebagainya. Adakah kini apabila PAS membentuk kerajaan bersama-sama dgn DAP dan PKR, kesemua ini dapat dihapuskan ? Adakah dgn tertubuhnya kerajaan BA di selangor, maka kilang Carlsberg di Shah Alam akan ditutup ? Apabila ditanya, mungkin jawapan yang diberikan adalah, kerajaan di Selangor dan Perak adalah kerajaan campuran yang meliputi pelbagai kaum dan melanggar kehendak demokrasi maka ianya tidak dapat dilaksanakan. Kenapakah mereka tidak berfikir seperti ini ketika BN yang secara jelah merupakan gabungan parti dari pelbagai kaum memerintah. Kenapa mereka menghentam BN sedangkan mereka tahu bahawa ianya tidak dapat dilaksanakan akibat daripada masyarakat yang berbilang kaum ? Kenapa mereka sanggup tipu rakyat semata-mata demi politik ?

Akibat daripada sikap yang tidak mementingkan bangsa dan agama ini, mungkin pada satu hari nanti, bumi Malaysia ini bukan lagi milik melayu, melayu mungkin tidak menjadi tuan di bumi sendiri. Mungkin negara akan pesat membangun, mungkin negara akan juga mencapai kemajuan.... tetapi apalah gunanya kemajuan dan pembangunan sekiranya ianya milik orang lain.



No comments: