1. Hari ini 19 Ogos 2012 yang bersamaan dengan 1 Syawal 1433H adalah tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi semua umat Islam di dunia.
2. Blog CheWal mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf diatas segala kekhilafan dan kesalahan yang dilakukan samada sengaja atau pun tidak kepada semua pembaca.
3. Sekiranya ada tulisan yang menyinggung perasaan, ianya tidak disengajakan dan harap dimaafkan. Blog ini semata-mata bertujuan untuk mengajak mengingatkan penulis dan pembaca agar sentiasa mengutamakan kebenaran dalam setiap pertuturan dan perbicaraan samada di alam realiti mahupun alam maya.
4. Blog ini berhasrat untuk melihat masyarakat di Malaysia menjadi masyarakat yang sentiasa berfikir, mencari fakta kebenaran sehingga benar-benar diyakini sebelum mempercayai sebarang tuduhan/tohmahan yang dilemparkan oleh sesiapa sahaja.
5. Ingatlah, kelemahan kita berfikir dan mencari kebenaran akan mudah diambil kesempatan oleh mereka yang terlalu inginkan kuasa. Golongan seperti ini akan sentiasa menipu, memanipulasi dan memfitnah dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan semata-mata untuk merampas kuasa.
6. Sebagai seorang Islam, kita seharusnya sentiasa berfikir dan jangan terpedaya dengan kata-kata tanpa menyelidiki fakta mengenainya terutamanya apabila kata-kata itu datangnya dari orang politik, kerana mereka mempunyai kepentingan.
7. Langkah yang paling baik adalah, apabila mendengar sebarang kata-kata mengenai apa-apa isu, janganlah dipercayai terus menerus. Sebaliknya, sentiasalah berfikir, mencari fakta sehingga anda benar-benar yakin barulah percaya.
8. Sekiranya fakta kebenaran tidak ditemui ataupun sekiranya kita tiada masa untuk mencari fakta kebenaran, maka janganlah dipercayai kata-kata tersebut dan berprasangka baiklah terhadap orang yang dituduh. Bersangka baik adalah lebih baik daripada mempercayai kata-kata yang kita tiada ilmu mengenainya kerana ianya boleh membawa kepada fitnah.
9. Dan yang paling penting, janganlah sebarkan tuduhan/tohmahan/penipuan/fitnah yang dibuat sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa fakta mengenainya. Berdiam diri adalah lebih baik daripada menyebarkan sesuatu yang kita tak yakin dan pasti. Sama-samalah menjadi insan yang berpegang teguh kepada kebenaran.
10. Akhir kalam, Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1433H, Maaf Zahir dan Batin dari CheWal blogspot.
No comments:
Post a Comment