September 26, 2012

FAQ: Menjawab Persoalan Mengenai Royalti Minyak


  1. Pakatan Rakyat mahupun penyokongnya selalu memberi label kepada kerajaan pusat yan g dikuasai Barisan Nasional. Diantara label yang sering diberikan adalah “merampas hak rakyat”, “zalim”,”mencuri” dan pelbagai label yang lain.  
  2. Apabila ditanya apakah bukti yang menunjukkan Kerajaan BN ini “zalim” atau “merampas hak rakyat”, diantara jawapan yang diberikan adalah merujuk kpd isu royalty minyak Kelantan yang kononnya dirampas oleh kerajaan pusat.
  3. Dakwaan dan tohmahan ini dibuat dan disebarkan dan disertakan dengan fakta-fakta sekerat sehingga banyak pihak yang tertipu dan terpedaya. Malah ada yang bergelar ustaz pun terpedaya dan turut sama menyebarkan kecaman-kecaman serupa tanpa berfikir dan mencari kebenaran
  4. Blog ini, semenjak awal kemunculannya telah menekankan betapa pentingnya setiap individu mencari kebenaran sebelum percaya dengan segala dakwaan terutama apabila ianya datang dari orang politik. Ini kerana sesetengah pihak gemar mewujudkan persepsi negative yang membawa kepada politik kebencian.
  5. Kembali kepada isu royalty minyak. Mari kita lihat satu persatu dakwaan mereka dan kita bandingkan dengan fakta kebenaran. Dakwaan-dakwaan ini saya petik daripada NGO Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) dan beberapa media/blog pro-pembangkang.
Dakwaan 1

Akta Kemajuan Petroleum 1974 dibentuk di Parlimen menggantikan Odinan Darurat 1969. Seksyen 13 (1) Akta Darurat Kuasa-kuasa Perlu 79 telah pun memansuhkan penggunaaan pemakaian ordinan darurat kuasa-kuasa perlu 1969 dan oleh itu ordinan tersebut adalah tidak relevan.
Jawapan

  1. Ordinan Darurat 1969 tidak pernah dimansuhkan sehinggalah pada 24 November 2011. Ini lanjutan daripada pengumuman PM bahawa beberapa proklamasi darurat termasuk yang berkaitan dengan Akta ISA akan dimansuhkan. Oleh itu pada 24 November 2011 dan 20 December 2011, ordinan darurat tersebut telah dimansuhkan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Sehubungan dengan itu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) no.7, 1969 yang menjelaskan pensempadanan wilayah perairan (territorial waters) juga tidak sah dalam masa 6 bulan dari tarikh pemansuhan ordinan ini kecuali sekiranya sesuatu dilakukan sebelum tamat tempoh ini.
  2. Lanjutan daripda pemansuhan ordinan ini, pada 18 June 2012, YDP Agong berkenan meluluskan AKTA 750 (Territorial Sea Act 2012) dan di gazetkan pada 22 June 2012.
  3. Perhatikan, bahawa Akta 750 ini diluluskan sebelum berakhirnya tempoh 6 bulan berkuatkuasanya pemansuhan ordinan darurat 1969.
  4. Akta 750, berkenaan dengan `territorial waters’ juga menulis perkara yang sama seperti didalam ordinan darurat 1969. Rujuk Rajah 1
  5. Kenapa akta ini penting ?  Ini kerana, akta ini menerangkan berkenaan apa yang dimaksudkan oleh territorial waters seperti yang terkandung dalam Kanun Tanah Negara 1965.
  6. Kenapa perlu rujuk Kanun Tanah Negara ? Ini kerana, Kanun Tanah Negara menjelaskan berkenaan `Tanah Negeri’ yang tidak terdapat dalam Akta Petroleum 1974.
  7. Bukankah Akta Petroleum 1974 dah cukup? Akta Petroleum 1974 adalah hanya untuk penyerahan hak eksplorasi,eksploitasi dan carigali kepada Petronas.Sebagaimana Malaysia memberikan hak tersebut  kepada Petronas, demikian jugalah kerajaan negeri memberi hak eksplorasi dan carigali kepada Petronas (tanpa boleh batal).
  8. Bukankah penyerahan hak oleh kerajaan negeri bermakna hak tersebut pada asalnya adalah hak kerajaan negeri dan Petronas diminta membayar tunai? Hak yang diberikan oleh kerajaan negeri adalah kawasan yang merupakan hak kerajaan negeri atau sempadan yang dimiliki oleh negeri. Untuk kawasan yang bukan hak kerajaan negeri, hak kepada Petronas diberikan oleh Kerajaan Pusat.
  9. Macam mana nak tahu hak wilayah kerajaan negeri?Hak kerajaan negeri termaktub dibawah Kanun Tanah Negara 1965. Sila rujuk definasi `Tanah Negeri' pada rajah 2.


Rajah 1: Sebahagian daripada Akta 750 Territorial Sea Act 2012
yang menggantikan Ordinan Darurat 1969 berkaitan 'Territorial Waters'
               

    Definasi `Tanah Negeri' berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965

Rajah 2: Sebahagian dari Kanun Tanah Negara 1965

Sila perhatikan ayat yang di `bold’ kan. Ianya tertulis territorial waters. Penjelasan mengenai `territorial waters’ ini dirujuk kepada Ordinan Darurat 1969 (sebelum pemansuhan) dan akta 750(selepas pemansuhan) seperti yang dijelaskan diatas.

Kesimpulan untuk dakwaan ini

  • Ordinan Darurat 1969 tidak dimansuhkan sehinggalah pada November 2011 dan untuk undang-undang mengenai `territorial waters’, ianya digantikan oleh Akta 750 yang digazetkan pada Jun 2012
  • Akta Petroleum adalah penyerahan hak oleh Kerajaan Malaysia dan Negeri-negeri kpd Petronas untuk operasi eksplorasi dan carigali.
  • Hak milik negeri adalah kawasan didalam sempadan negeri yang merangkumi perairan wilayah yang bermaksud jaraknya yang tidak melebihi 3 batu nautika daripada paras surut air.
Dakwaan 2 

Pada 9 Mei 1975 - Kerajaan Negeri Kelantan telah menandatangani Perjanjian di bawah akta 144 Petroleum Development Act 1974. Perjanjian tersebut bertajuk, “Grants of Rights, Powers, Liberties and Privileges in respect of Petroleum”. Beberapa buah negeri telah menandatangi perjanjian dengan PETRONAS dan Kerajaan Malaysia menyerahkan hak mereka dengan PETRONAS dijanjikan akan membayar sebanyak 5% secara tunai dari hasil Petroleum dan Gas Asli terus kepada Negeri-Negeri tersebut. 

Jawapan

  1. Seperti yang diterangkan diatas, perjanjian dibawah Akta Petroleum 1974 (akta 144) adalah untuk Malaysia dan negeri-negeri menyerahkan hak eksplorasi dan mencarigali kepada Petronas.
  2. Tidak ada disebut perkataan royalti didalam akta ini.Yang disebut adalah `bayaran tunai’ kepada negeri. Bayaran ini diberikan sekiranya eksplorasi dan carigali ini berlaku di pantai (onshore) atau dilluar pantai (offshore). Rujuk petikan perjanjian pada rajah 3. Perhatikan perkataan pantai dan diluar pantai.
Rajah 3: Petikan Perjanjian Akta Petroleum 1974

     3. Sebagai balasan, Petronas perlulah memberi bayaran tunai (cash payment) yang mempunyai nilai yang sama dengan 5% hasil minyak yang didapati dan dijual oleh Petronas. Perjanjian yang dibuat pada Mei 1975 ini adalah seperti rajah dibawah.

 4.  Berdasarkan perjanjian ini, Petronas akan memberi bayaran tunai SEKIRANYA minyak didapati di negeri Kelantan. Oleh itu, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memastikan samada minyak tersebut berada di negeri Kelantan atau tidak. Untuk itu, had sempadan negeri perlu ditentukan. Sempadan negeri ini boleh dilihat melalui Kanun Tanah Negara.



Dakwaan 3
Jarak 150km dari Kota Bharu ke kawasan pengeluaran minyak & gas di JDA tetapi paip menyalurkan minyak didaratkan ke Songla yang jaraknya 260km dari JDA (beza 110km) - Penafian HAK Kelantan buat kali pertama!

Jawapan
  1. JDA adalah kawasan usahasama antara Kerajaan Malaysia dengan kerajaan Negara Lain, sebgai contoh kerajaan Thailand. Pemilihan tempat pendaratan minyak untuk kawasan yang dikongsi bersama perlulah mempunyai kesepakatan ataupun `win-win situation’.Ianya adalah melibatkan hubungan antara dua Negara iaitu Malaysia dan Thailand, oleh itu dalam hubungan dua hala antara dua Negara, pendekatan yang membawa kepada usahasama dua Negara perlu diutamakan. 

Dakwaan 4

Sekali lagi hak Negeri Kelantan ingin dinafikan oleh Kerajaan Persekutuan dengan mendaratkan minyak Kelantan ke Terengganu.

Jawapan 
  
  1. Minyak tersebut bukan hak Negeri Kelantan mahupun Negeri Terengganu. Sila rujuk jawapan diatas.
  2. Petronas adalah sebuah entity perniagaan dan sebagai sebuah Syarikat yang besar dan mempunyai keupayaan menjalankan perniagaan dengan begitu cemerlang sudah tentu memilih jalan yang boleh membawa keuntungan kepada mereka. Mustahil, Petronas akan memilih pendekatan yang membawa kerugian. Sudah semestinya, pemilihan tempat untuk pendaratan minyak telah mengambil kira kesemua kos-kos yang terlibat diantara membangunkan satu tempat pendaratan baru beserta dengan kerja-kerja pemasangan paip dengan hanya membuat pemasangan paip yang sedikit panjang tetapi dapat mengoptimumkan penggunaan pusat pendaratan dan pemprosesan di Terengganu. Banyak factor dan kos yang akan terlibat samada secara langsung atau tidak langsung sekiranya satu tempat pendaratan baru perlu dibina atau ditambahbaik. 
  3. Blog ini percaya, Petronas mempunyai kepakaran mereka dalam merancang operasi carigali dan pemprosesan minyak.

Dakwaan-dakwaan lain (diambill dari blog/media pembangkang)

Dakwaan 5
Kenapa Terengganu mendapat royalty sedangkan jarak tempat carigali minyak adalah jauh dari 3 batu nautica?

Jawapan
Terengganu sama seperti Kelantan tiada hak keatas minyak yang dijumpai kerana ianya bukan hak milik kerajaan negeri. Pemberian royalty kepada Terengganu adalah Ihsan dari PM dan samada ianya ditermakan sebagai royalty ataupun wang ehsan, kedua-duanya adalah ehsan PM kerana minyak yang dijumpai bukan milik Terengganu. Inilah sebabnya pada tahun 1999, bayaran royalty kepada Terengganu ditukar namanya kepada wang Ehsan kerana ianya hendak disalurkan secara terus kepada rakyat Terengganu dan bukan kepada Kerajaan Negeri. Diantara alasan yang diberikan adalah dikhuatiri, Kerajaan Negeri akan menggunakan wang ini untuk tujuan parti politik dan bukannya untuk rakyat Terengganu. Bayaran yang dibuat melalui JPP akan bergantung kepada projek-projek keperluan rakyat.Sebarang projek yang ingin dibuat oleh Kerajaan Negeri untuk kebaikan rakyat Terengganu boleh mendapatkan wang ehsan ini melalui JPP. Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa merubah bayaran tunai ini adalah kerana minyak yang dijumpai itu adalah hak milik kerajaan Persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

Kerajaan Kelantan juga mendapat wang ehsan seperti mana yang didapati oleh Kerajaan Terengganu.

Dakwaan 6
Kenapa Sabah dan Sarawak mendapat royalty?

Jawapan
Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah sedia mempunyai kedudukan tersendiri terhadap hak royalti melalui kuatkuasa perjanjian serta perundangan-perundangan yang memberi hak ke atas kawasan pelantar benua.
Hak kedua-dua negeri ke atas kawasan pelantar benua termaktub di dalam “North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954” dan “Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954]”.
Ia merupakan sejarah dan hak istimewa yang diiktiraf semasa menyertai Malaysia pada tahun 1963.
Sebagaimana yang termaktub Di dalam Perlembagaan Persekutuan, perkiraan bayaran kepada Sabah dan Sarawak mengambil kira duti import, duti eksais, duti eksport petroleum kepada Sabah dan Sarawak serta hasil perlombongan galian semulajadi.
Ini adalah jaminan kelayakan yang diterima oleh Negeri Sabah dan Sarawak, yang tidak ada di negeri-negeri Semenanjung.

Soalan tambahan

1.  Apakah Pimpinan Pakatan Rakyat sedar akan system Perundangan yang berkaitan dengan Royalti ini?

Blog ini berpendapat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tahu bahawasanya, kalau berasaskan kebenaran fakta dan perundangan, mereka tiada hak keatas hasil minyak ini. Oleh kerana itulah Anwar Ibrahim telah cuba untuk membuat pindaan terhadap Akta Petroleum 1974 pada tahun 2009 dengan memasukkan kenyataan dibawah pada seksyen 10 akta tersebut :-


Beliau mahu meminda dan membuat takrifan baru pada perkataan `diluar pantai’ agar ianya menjadi hak milik kerajaan negeri. Untuk pengetahuan pembaca, Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) adalah kawasan perairan milik Negara yang berada di wilayah perairan di luar 12 batu nautical sehingga ke 200 batu nautica (sila rujuk United Nation Convention).

Ini menunjukkan bahawa belia sedar tanpa pindaan pada perkataan di luar pantai seperti diatas, ianya bukanlah milik negeri tetapi ianya adalah milik kerajaan Persekutuan.

Ini juga membuktikan bahawa tindakan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan adalah berasaskan kepada undang-undang dan tidak pernah berniat jahat.


2. Apakah penyelesaian kepada kemelut ini

Bagi pendapat blog ini, perkara pertama yang perlu difahami oleh seluruh rakyat adalah, pentingnya untuk kita mengutamakan kebenaran daripada politik. Sekiranya fakta dan kebenaran diutamakan, tidak akan timbul cubaan untuk menjadikannya isu politik yang dipergunakan oleh kelompok-kelompok tertentu untuk menimbulkan kebencian rakyat. Ini semua dilakukan demi survival politik mereka.

Sekiranya kita mengutamakan kebenaran dan tidak terpedaya dengan hasutan,penipuan dan fitnah yang cuba dilemparkan kepada Kerajaan Persekutuan maka InsyaAllah kita akan faham kedudukan sebenar isu ini dan dapat berfikir dengan lebih rasional.

Blog ini juga berpendapat, sekiranya kerajaan Negeri Kelantan memahami isu ini dari sudut perundangan dan mereka faham bahawa mereka tiada hak keatas minyak tersebut, pendekatan secara rundingan boleh dibuat dengan Kerajaan Persekutuan. Sekiranya Kerajaan Negeri berunding dengan cara baik kepada Kerajaan Pusat dan memohon agar dinaikkan sumbangan atau peruntukan daripada hasil minyak ini, blog ini percaya, Kerajaan Pusat bersedia menimbangkannya. Mungkin sekiranya dibincang dengan baik, Kerajaan Kelantan akan mendapat sumbangan bayaran tunai dengan jumlah yang lebih besar.

Malangnya, mungkin akibat dihasut oleh kelompok tertentu, Kerajaan Negeri bersikap angkuh dan kasar, melemparkan pelbagai tuduhan sehingga sanggup mendoakan “pecah perut” dan sebagainya sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka berada di pihak yang salah. Sekiranya mereka mengetepikan politik dan mengutamakan kebenaran, blog ini percaya keputusan yang memberi kebaikan kepada semua pihak dapat dicapai.

August 19, 2012

Salam Aidilfitri 1433H

1. Hari ini 19 Ogos 2012 yang bersamaan dengan 1 Syawal 1433H adalah tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi semua umat Islam di dunia.

2. Blog CheWal mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf diatas segala kekhilafan dan kesalahan yang dilakukan samada sengaja atau pun tidak kepada semua pembaca. 

3. Sekiranya ada tulisan yang menyinggung perasaan, ianya tidak disengajakan dan harap dimaafkan. Blog ini semata-mata bertujuan untuk mengajak mengingatkan penulis dan pembaca agar sentiasa mengutamakan kebenaran dalam setiap pertuturan dan perbicaraan samada di alam realiti mahupun alam maya.

4. Blog ini berhasrat untuk melihat masyarakat di Malaysia menjadi masyarakat yang sentiasa berfikir, mencari fakta kebenaran sehingga benar-benar diyakini sebelum mempercayai sebarang tuduhan/tohmahan yang dilemparkan oleh sesiapa sahaja.

5. Ingatlah, kelemahan kita berfikir dan mencari kebenaran akan mudah diambil kesempatan oleh mereka yang terlalu inginkan kuasa. Golongan seperti ini akan sentiasa menipu, memanipulasi dan memfitnah dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan semata-mata untuk merampas kuasa. 

6. Sebagai seorang Islam, kita seharusnya sentiasa berfikir dan jangan terpedaya dengan kata-kata tanpa menyelidiki fakta mengenainya terutamanya apabila kata-kata itu datangnya dari orang politik, kerana mereka mempunyai kepentingan. 

7. Langkah yang paling baik adalah, apabila mendengar sebarang kata-kata mengenai apa-apa isu, janganlah dipercayai terus menerus. Sebaliknya, sentiasalah berfikir, mencari fakta sehingga anda benar-benar yakin barulah percaya. 

8. Sekiranya fakta kebenaran tidak ditemui ataupun sekiranya kita tiada masa untuk mencari fakta kebenaran, maka janganlah dipercayai kata-kata tersebut dan berprasangka baiklah terhadap orang yang dituduh. Bersangka baik adalah lebih baik daripada mempercayai kata-kata yang kita tiada ilmu mengenainya kerana ianya boleh membawa kepada fitnah.

9. Dan yang paling penting, janganlah sebarkan tuduhan/tohmahan/penipuan/fitnah yang dibuat sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa fakta mengenainya. Berdiam diri adalah lebih baik daripada menyebarkan sesuatu yang kita tak yakin dan pasti. Sama-samalah menjadi insan yang berpegang teguh kepada kebenaran.

10. Akhir kalam, Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1433H, Maaf Zahir dan Batin dari CheWal blogspot.

August 02, 2012

Menghapuskan cukai kenderaan, baik atau buruk ?


1. Baru-baru ini, Pakatan Rakyat mengumumkan janji mereka seterusnya untuk menghapuskan cukai kenderaan sekiranya diberi peluang memerintah. Cukai kenderaan di Malaysia ini merangkumi duti import, duti eksais dan cukai jualan.

2.       Sebelum blog ini meneruskan perbincangan, perlu ditekankan bahawa analisa dibawah dibuat hanya untuk kenderaan bermotor (tidak termasuk MPV/VAN, 4WD dan kenderaan komersial).

3.       Untuk makluman duti import hanya dikenakan keatas kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) dan kenderaan yang dipasang (CKD) dari luar Negara Asean. Bagi kenderaan CBU dan CKD dari tempatan dan Asean, tiada duti import yang dikenakan (0%). Duti eksais dan cukai jualan dikenakan keatas semua kenderaan samada CBU, CKD Asean ataupun diluar Asean.

4.       Mengikut data terkini, duti import yang dikenakan bagi kenderaan dari luar Asean adalah 30% (bagi CBU) dan 10%(bagi CKD). Duti eksais bagi semua kenderaan CBU dan CKD adalah dari 75% - 105% bergantung kepada cc dan cukai jualan adalah 10% bagi semua kenderaan.

5.       Untuk pengetahuan juga, duti eksais dan cukai jualan juga dikenakan keatas kenderaan tempatan seperti Proton. Oleh itu, bagi kenderaan CBU dan CKD dari Asean, tidak ada beza cukai dan duti eksais dengan kereta Proton. Semuanya sama.

6.       Oleh itu, kenyataan bahawa cukai dikenakan untuk melindungi Proton adalah tidak benar. Kalau dahulu ye, tapi semenjak tahun 2005, ianya telah berubah. Oleh itu, Proton semenjak tahun 2005 telah bersaing dengan kenderaan-kenderaan dari Asean (CBU & CKD) diatas gelanggang yang sama (same level playing field). Kenderaan CBU dan CKD dari Asean adalah kenderaan-kenderaan yang dipasang di Negara-negara Asean dan diimport ke Malaysia dan juga kenderaan yang dipasang di Malaysia dengan menggunakan komponen yang diimport dari Asean.

7.       Sekarang berbalik kepada isu penghapusan cukai kenderaan yang dicadangkan oleh PR.

8.       Seperti biasa, Pakatan Rakyat menabur janji tanpa berfikir panjang. Mereka gemar membuat janji manis untuk meraih undi tanpa memikir apakah kesan-kesannya dan sejauh mana tindakan itu mendatangkan faedah. Mereka berharap agar terdapat masyarakat yang tidak mahu berfikir panjang terbuai dan terpedaya dengan janji manis mereka.

9.       Sekiranya penghapusan cukai itu dibuat bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat,sebenarnya ianya tidak begitu signifikan. Kalau ianya untuk mengurangkan beban orang kaya, mungkin ya kerana orang kaya akan lebih mendapat faedah daripada penghapusan cukai ini.

10.   Ini kerana penghapusan cukai-cukai ini akan memberi impak yang lebih besar kepada kenderaan-kenderaan mewah yang harganya mahal. Bagi kenderaan rakyat kebanyakkan yang biasanya menggunakan kenderaan berharga murah, tindakan ini tidak memberi kesan yang ketara sebaliknya mungkin menjejaskan kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

11.   Sebelum blog ini meneruskan perbincangan, sila lihat perbezaan harga ini. Untuk menjangkakan perbezaan harga apabila cukai-cukai dihapuskan, saya menggunakan harga kenderaan di Pulau Langkawi sebagai panduan. Kenderaan di Pulau Langkawi tidak dikenakan cukai.

Bil
Jenis Kenderaan
Harga dgn cukai
Harga tanpa cukai
1
Toyota Camry 2.0G (D-segment cars)
RM 158,XXX
RM 104,XXX
2
Toyota Altis 1.6E (C-segment cars)
RM 107,XXX
RM 68,XXX
3
Toyota Vios 1.5E (B-segment cars)
RM 82,XXX
RM 62,XXX
4
Proton Preve 1.6 Exec (C-segment cars)
RM 63,XXX
RM 60,XXX
5
Proton Persona 1.5 (B-segment cars)
RM 51,XXX
RM48,XXX
6
Proton Saga FLX (B-segment cars)
RM 42,XXX
RM 40,XXX

12.   Melihat kepada jadual diatas, bagi rakyat yang berpendapatan rendah, pengurangan harga
kereta tidak begitu signifikan. Kalau pada ketika ini, mereka membeli kereta berharga dalam lingkungan RM 30K – RM 40K, selepas cukai dihapuskan, kenderaan mereka juga akan berada dalam lingkungan yang sama. Kalau sebelum ini mereka terpaksa mengambil loan sebanyak RM 35K, mungkin selepas ini loan mereka adalah RM 30K. Perubahan ini terlalu kecil untuk memberi kesan.

13.   Bagi golongan berpendapatan tinggi pula, tindakan ini memberi impak yang lebih berbanding rakyat berpendapatan rendah.Pengurangan harga kereta mereka adalah dalam lingkungan RM40K – RM 50K. Pengurangan yang lebih besar dapat dinikmati oleh golongan ini sekiranya mereka membeli kenderaan-kenderaan import mewah. Soalannya, siapakah yang terdiri dari golongan yang berpendapatan tinggi ini ?

14.   Sekiranya ada yang mengatakan bahawa dengan pelupusan cukai ini, mereka yang hanya mampu membeli Altis sebelum ini, kini mampu membeli Camry. Iya, memang benar, tapi beban hutang mereka tetap sama. Yang berbeza adalah model kenderaan. Mereka masih berhutang RM 100K sebelum pelupusan cukai dan selepas pelupusan. Oleh itu, dakwaan bahawa ini dapat mengurangkan beban dan pinjaman adalah tidak tepat.

15.   Mungkin ada yang berpendapat dengan tindakan ini, rakyat tidak perlu beli Proton dan boleh membeli kenderaan buatan Jepun.Misalnya, dengan harga Proton Preve, mereka kini boleh membeli Toyota Altis. Iye, memang benar, tapi beban hutang mereka masih sama. Dan mereka hanya memilih jenama (brand) berbanding nilai tambah. Sistem keselamatan dan pemanduan untuk Proton Preve misalnya jauh lebih baik dari Toyota Altis. Tetapi terpulanglah kalau mereka masih memilih jenama.

16.   Setelah melihat bahawa tiadanya kesan positif yang signifikan, mari kita lihat kesan negatifnya pula.

17.   Diantara kesan negative yang ketara adalah pengurangan pendapatan Negara, menjejaskan syarikat automotif tempatan dan ekosistemnya, menjejaskan perpindahan teknologi berimpak tinggi dan meningkatnya jumlah kenderaan dan kesesakan.

18.   Selain daripada itu, penghapusan cukai secara mendadak pula akan menjejaskan pemilik kenderaan sedia ada dan syarikat kereta terpakai. Untuk makluman, Kerajaan yang sedia ada juga melakukan pengurangan cukai. Tetapi Mereka mengurangkan cukai secara berkala dan tidak mendadak supaya tidak berlaku kesan yg besar bagi pemilik kenderaan sedia ada dan sykt kenderaan terpakai. Yang mana lebih bijak?

19.   Apabila pendapatan kerajaan berkurang akibat daripada penghapusan cukai yang dianggarkan sekita RM 7 billion setahun, maka kehidupan rakyat juga terjejas. Ini kerana pendapatan Negara ini disalurkan kembali kepada rakyat dalam pembangunan infrastruktur dan perbelanjaan operasi dan perkhidmatan. Majoriti golongan yang mendapat manfaat ini adalah golongan miskin dan berpendapatan rendah. Sudah pasti tanpa pendapatan seperti ini, agak sukar bagi kerajaan menyediakan pendidikan percuma, memberi bantuan kewangan kpd golongan miskin spt BR1M dan mungkin mengurangkan perbelanjaan infra Negara.

20.   Untuk pengetahuan, Negara Thailand yang terkenal dengan nama `Detroit of Asia’ juga mengenakan cukai keatas kenderaan di negaranya walaupun Negara Thailand tidak mempunyai industry automotif tempatan. Cukai yang dikenakan oleh Thailand juga agak tinggi. Sebab itu harga kenderaan di Thailan tidak terlalu murah berbanding Malaysia. Mengapa Negara yang diberi jolokan `Detroit of Asia’ ini mengenakan cukai ? kerana hasil cukai ini dapat digunakan untuk membantu rakyat dan membangunkan Negara
 
21.   Industri automotif tempatan dan ekosistemnya juga mungkin terjejas. Ini adalah kerana lumrah masyarakat di Malaysia yang suka memiliih jenama luar walaupun ada ketikanya, jenama tempatan memberi nilai yang lebih baik. Rakyat Malaysia kurang sifat patriotic berbanding rakyat Negara lain seperti Jepun dan Korea. Di Korea misalnya, walaupun kenderaan mereka berkualiti sangat rendah berbanding kenderaan luar (tahun 70an – tahun 2000an), mereka masih setia bersama jatuh bangun syarikat tempatan. Oleh kerana Malaysia kurang sikap patriotic, maka kemungkinan syarikat tempatan akan terjejas adalah tinggi. Ini bukan sahaja menjejaskan Proton, ianya juga akan menjejaskan seluruh ekosistem automotif tempatan. Anda tahu siapa yang akan rugi. Ini belum diambil kira kerugian dari segi pemindahan tekonologi berimpak tinggi.

22.   Oleh itu, setelah melihat senario yang akan berlaku daripada tindakan menghapuskan cukai ini, dapat disimpulkan ianya lebih memberi kesan negative daripada positif dan lebih menguntungkan golongan kaya daripada golongan sederhana dan miskin yang lebih majority.

23.   Sentiasalah berfikir sebelum bertindak. Allah menyuruh hambanya sentiasa berfikir. Janganlah terima bulat-bulat tanpa berfikir dan tanpa melihat kesan baik dan buruknya.

July 23, 2012

Salam Ramadhan Yang Penuh Keberkatan

1. Dah lama tak menulis dalam blog ni. Kadang-kadang banyak buat kerja lain. Tak boleh cakap takde masa, sebab masa tu ada cuma kita je yang tak mampu nak menggunakan masa dengan sebaiknya.

2. Alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk menjalani ibadah puasa sekali lagi di bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini. Oleh kerana kita masih diberi kesempatan oleh Allah, maka seharusnyalah kita gunakan kesempatan ini sebaik mungkin dalam membawa diri kita kearah yang lebih baik.

3. Sempena bulan yang mulia ini ataupun sering disebut bulan latihan, marilah kita melatih diri untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

4. InsyaAllah kita cuba latih diri supaya utamakan kebenaran. Dalam apa jua keadaan, dalma apa jua situasi dan isu, utamakanlah kebenaran melebihi kepentingan-kepentingan yang lain.

5. Cabaran pada masa sekarang sebenarnya begitu kuat. Sekiranya kebenaran tidak diutamakan, penipuan, fitnah, cacian, penghinaan, prasangka buruk akan berleluasa dalam masyarakat. Akibatnya, masyarakat akan hancur, perpaduan akan hancur dan keharmonian akan terjejas.

6. Dari apa yang diperhatikan, fitnah dan penipuan disekeliling kita begitu berleluasa. Mungkin fitnah dan penipuan ini dilakukan oleh mereka yang berkepentingan, oleh mereka yang terlalu berkeinginan untuk merampas kuasa sehingga tidak rasa bersalah sedikitpun apabila melakukan penipuan. Yang lebih memeranjatkan adalah, fitnah dan penipuan ini dilakukan oleh mereka yang beragama islam dan adakalanya mereka-mereka yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Tidak mungkin mereka tidak tahu bahaya fitnah dan penipuan.

7. Dalam suasana politik di Malaysia, perbuatan fitnah dan penipuan ini dilakukan sewenang-wenangnya. Terlalu banyak penipuan, fitnah, cacian, memanipulasi fakta yang dilakukan semata-mata kerana kuasa. Banyak isu-isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat misalnya berpunca dari penipuan dan fitnah. Bahayanya fitnah ini adalah ia akan menyebabkan masyarakat tertipu dan memberi gambaran yang salah. Saya menggunakan contoh penipuan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat adalah kerana ianya begitu banyak meluas. Terlalu banyak penipuan yang telah dilakukan semata-mata untuk mengelirukan rakyat supaya rakyat benci kepada pemerintah. Sedangkan perkara yang dijadikan isu itu tidak benar.

8. Tujuan fitnah dan penipuan ini mungkin kerana sesetengah pihak seperti Pakatan Rakyat mahu menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan. Mungkin oleh kerana mereka tidak mampu untuk menunjukkan kebaikan dan kebolehan mereka, maka mereka gunakan perang persepsi supaya rakyat benci kepada pemerintah. Bagi mereka yang tidak mahu berfikir atau mengkaji sesuatu cerita/berita, maka mereka akan mudah percaya dan terpedaya. Bagi saya tektik yang digunakan ini bukan sahaja satu tektik yang jahat tetapi boleh merosakkan keharmonian negara.

9. Oleh itu, marilah kita gunakan kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk belajar melatih diri akan sentiasa mencari kebenaran. Apabila datangnya sesuatu cerita atau berita tanpa mengira dari mana ianya datang, kita perlu siasat, selidiki dan kaji sumber  dan kebenarannya. Hanya setelah kita benar-benar yakin tanpa ragu-ragu akan kebenarang sesuatu perkara/cerita, barulah kita boleh percaya. Dan jangan sesekali kita menyebarkan pulak sesuatu cerita/berita yang tidak pasti kebenarannya apatah lagi dizaman perkembangan media sosial yang pesat. Sebab, apabila perkara yang tidak benar diletakkan di laman media sosial, maka kita telah pun menyebarkan fitnah ke serata dunia. Saya tidak boleh nak bayangkan dosa yang terpaksa ditanggung akibat daripada penyebaran fitnah ini.

10. Saya menasihatkan diri saya untuk sentiasa memastikan kebenaran sesuatu perkara terlebih dahulu. Biarlah kita dikatakan hidup dibawah tempurung dan biarlah kita dikatakan naif  asalkan kita tidak bersubahat dalam perkara-perkara fitnah yang boleh membawa kepada kehancuran.

11. Semoga kita menjadi masyarakat yang sentiasa berfikir dan mengutamakan kebenaran. Salam Ramadhan dari Blog Chewal, Maaf Zahir dan Batin.

May 01, 2012

Apabila Kemungkaran diwajibkan

1. Tarikh 28 April 2012 bolehlah dikatakan sebagai tarikh hitam atau tarikh yg sedih bagi negara Malaysia, bumi bertuah ini. Ini adalah kerana pada tarikh ini, lebih kurang 25,000 pendemo-pendemo membuat kemungkaran dengan menyertai perhimpunan BERSIH 3.0.

2. Memang menjadi lumrah bahawa manusia lebih mudah melakukan kemungkaran daripada kebaikan. Mungkin akibat pengaruh syaitan maka manusia hilang pertimbangan dan memilih untuk berbuat jahat.

3. Malangnya perhimpunan mungkar ini dipelopori oleh parti-parti politik pembangkang sehinggakan dikatakan wajib untuk menyertainya. En. Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa wajib untuk menyertai perhimpunan mungkar ini. Akhbar Harakah dengan bangganya menulis di muka surat hadapanya saranan En. Nik Aziz ini.

4. Bagaimana mungkin seorang yang dikatakan mempunyai pemahaman agama sanggup untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu ? Agaknya inilah yang dikatakan akhir zaman dimana pemimpin membelakangkan prinisip akhlak dan agama untuk mengajak kepada kemungkaran.

5. Mengapa BERSIh 3.0 adalah kemungkaran ? Ada banyak sebab, diantaranya adalah :-

a. Melanggar undang-undang adalah satu kemungkaran.

b. Melanggar pemerintah adalah satu kemungkaran.

c. Menipu dan memperdaya adalah satu kemungkaran.

d. Membawa kerosakan dan ancaman kepada negara adakah satu kemungkaran.

e. Merampas hak orang lain (majoriti rakyat) yang inginkan keamanan adalah satu kemungkaran.

f. Menjerit, melaung, mencaci dan membuat provokasi yang boleh memudaratkan adalah satu kemungkaran.

6. Sebenarnya, kalau nak disenaraikan terlalu banyak kemungkaran yg terdapat dalam BERSIH 3.0. Ini tidak termasuk menjadikan orang yang menyokong kebebasan mutlak seperti LGBT sebagai pemimpin juga adalah satu kemungkara.

7. Perhimpunan BERSIH 3.0 (dibaca MUNGKAR 3.0) sebenarnya bukanlah perhimpunan untuk pilihanraya. Ini adalah kerana semua isu yang dibangkitkan oleh SPR telah dijawab satu persatu siap dengan faktanya sekali. SPR juga telah berjumpa dengan semua Ahli Parlimen untuk memberi penjelasan. Tambahan pula, proses penambahbaikan pilihanraya masih sedang berjalan.

8. Malangnya, segelintir rakyat (peserta MUNGKAR) mudah tertipu dan terpedaya. Mereka gagal berfikir dan gagal mendalami fakta yang benar. Mereka merelakan diri mereka ditipu dan dibodohkan dengan dakyah-dakyah palsu. Mereka gagal melihat apa yang telah dilakukan. Akhirnya mereka tertipu dengan dakwaan BERSIH dan pakatan pembangkang lantas turut serta dalam projek kemungkaran ini.

9. Akhirnya, apa yang berlaku pada 28/4/2012 membuktikan bagaimana besarnya kemungkaran yang telah mereka lakukan. Malangnya, individu yang mengeluarkan fatwa wajib tidak sedikit pun rasa bersalah dengan kemungkaran dan kejahatan yang dilakukan. 

10. Sungguh menyedihkan apabila kuasa politik menjadi begitu penting sehingga pendirian agama dicabuli dan kebenaran dikhianati. Sungguh menyedihkan apabila kuasa politik yang diingini mengkaburi rasional pemikiran sehingga tidak dapat menilai yang mana hak dan yang mana batil. Lebih meyedihkan lagi, sesetengan pemimpin ada yang berasa bangga dengan kemungkaran yang telah berlaku dan ada yang memuji. En. Nik Aziz juga berbangga dengan kemungkaran BERSIH 3.0 ini malah berbangga juga memberitahu beliau memberi bantuan kewangan kepada perserta untuk menyertai program mungkar.

11. Walaubagaimanapun, setiap yang berlaku mempunyai hikmah disebaliknya. Allah Maha Adil, Allah Maha Penyayang. Melalui peristiwa hitam tersebut, ditunjukkan kepada kita sikap sebenar parti Pakatan Rakyat yang suka mengajak masyarakat membelakangkan undang-undang. Perhimpunan itu juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Pakatan Rakyat dan sikap jahat mereka.

12. InsyaAllah, perhimpunan BERSIH 3.0 ini telah lebih banyak membuka mata rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan yang sebenar. InsyaAllah, peristiwa ini menjadi titik tolak untuk rakyat Malaysia menolak Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang.

April 16, 2012

Tahniah Proton !

1. Proton telah melancarkan kereta global pertama mereka iaitu Proton Preve. Model ini direkabentuk bercirikan piawaian antarabangsa (global standard) dan dibangunkan dari awal untuk pasaran antarabangsa.

2. Baru sebentar tadi, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak melancarkan model ini bersama-sama dengan The Father of Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

3. Melihat kepada pelancaran ini, selepas mendengar ucapan dari Pengarah Urusan Proton, Dato' Syed Zainal, kakitangan utama Proton dan persembahan video yang ditontonkan, rasa bangga diatas kejayaan Proton menghasilkan model ini.

4. Blog ini pernah mengeluarkan artikel sempena hari lahir proton yg ke 23 pada July 2008. Ianya boleh dibaca di sini : Proton dan Objektifnya. Artikel tersebut cuba menjelaskan penghasilan industri automotif negara, objektif-objektif dan standard yg digunapakai dalam pembangunannya. Artikel tersebut juga menjejaki perjalanan Proton samada selari atau tidak dengan standard industri automotif antarabangsa.

5. Ramai yang keliru dan tidak faham objektif sebenar penghasilan Proton. Ramai yang hanya menjangka bahawa Proton adalah untuk menghasilkan kereta semata-mata, tetapi jangkaan ini jauh meleset. Kerana objektif Proton adalah jauh lebih besar daripada itu.

6. Ramai juga yang tidak tahu standard industri automotif yang digunapakai oleh kerajaan dalam membangunkan Proton malah ramai yang mengutuk kerajaan kerana mewujudkan cukai sebagai perlindungan untuk Proton. Mereka tidak tahu bahawa perlindungan seperti ini adalah satu proses perjalanan (roadmap) yang biasa bagi mana-mana industri automotif di dunia. 

7. Blog ini juga pernah menjawab tulisan blogger syedoutofthebox mengenai Proton kerana beliau gagal memahami industri automotif dan mempunyai pemahaman dan fakta yang salah. Tulisan ini boleh dibaca di sini (part 1)  dan disini (part 2)

8. Akhirnya, kini rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan kejayaan Proton dengan kemunculan model Preve ini dan saya amat berbangga melihat nama-nama ketua-ketua kejuruteraan dalam pelbagai segmen yang ditunjukkan dalam video the making of Preve tadi. Lihat pada kejayaan dan keupayaan mereka, anda akan mampu menilai kejayaan sebenar industri Proton yang diwujudkan 27 tahun yang lalu.

9. Syabas dan Tahniah Proton. Terima Kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad.

March 21, 2012

Lynas: Malaysia boleh memecahkan monopoli China.



1. Parlimen Malaysia telah meluluskan penubuhan jawatankuasa khas parlimen bagi membincang dan memantau aktiviti di kilang Lynas, Kuantan. Ironinya beberapa ahli parlimen. dari pembangkang bertindak keluar dewan kononya kerana kerajaan tak bersetuju dengan cadangan mereka supaya lesen sementara Lynas ditarik balik dan operasi kilang dihentikan. Tindakan ini macam kebudak-budakkan. Tetapi, ianya bukan sesuatu yang pelik bagi pembangkang di Malaysia yang terkenal dengan sikap kebudak-budakkan dan tidak profesional.

2. Malangnya, ahli parlimen pembangkang tidak mahu memahami fakta sebenar mengenai Lynas walaupun ada ahli parlimen mereka yang merupakan pakar dalam bidang nuklear yang telah berkali-kali menjelaskan bahawa kilang Lynas di Kuantan ini tidak merbahaya.

3. Ini adalah satu lagi sikap pembangkang di Malaysia dimana mereka tidak suka kepada fakta kebenaran, sebaliknya mereka lebih pentingkan permainan politik. Hampir kesemua tindakan mereka bermotifkan politik walaupun terpaksa menutup mata dari memahami kebenaran. Malangnya ada diantara rakyat marhaen yang berjaya ditipu dan diperdaya oleh mereka.

4. Beberapa hari yang sudah, saya membaca satu artikel dari IEEE Spectrum mengenai tindakan negara China mengawal dan mengurangkan eksport rare earth kerana mementingkan kegunaan syarikat tempatan. Tindakan ini menyebabkan negara-negara besar di dunia yang begitu bergantung kepada bahan rare earth ini marah. Rare earth adalah elemen yang penting yang digunakan dalam pelbagai kelengkapan elektrik, elektronik, automotif, perubatan dan bermacam-macam lagi.

5. Tindakan China mengurangkan eksport demi kegunaan syarikat tempatan boleh menjejaskan industri berasaskan teknologi didunia. Ini adalah kerana China menguasai hampir 97% pasaran rare-earth dunia. Article IEEE spectrum itu boleh dibaca disini : http://m.spectrum.ieee.org/tech-talk/semiconductors/materials/complaints-over-chinas-rare-earth-export-policies-get-serious/

6. Sekiranya kilang Lynas beroperasi di Malaysia, pasaran rare-earth dunia yang dapat dikuasai oleh Malaysia/Lynas adalah sebanyak 20%. Ini sudah tentu dapat mengurangkan tekanan yang diberi oleh China dan tidak sukar bagi Malaysia/Lynas untuk mendapat pasarannya. Negara seperti Jepun dan US sudah semestinya akan beralih kepada Malaysia untuk mendapat bekalan rare-earth. Dari sudut perniagaan dan ekonomi, sudah semestinya industri ini memberikan pulangan yang lumayan kepada negara dan rakyat akan dapat manfaatnya.

7. Sayang sekali apabila pemimpin pembangkan begitu irihati apabila mendapat tahu bahawa kerajasan hari ini boleh terus mengembangkan ekonomi negara dan boleh memberi manfaat kepada rakyat. Mungkin mereka lebih gemar melihat China menguasai sepenuhnya pasaran rare-earth ini dan suka melihat negara itu bertindak sewenang-wenangnya. Mungkinkah ini sebabnya bahawa majoriti mereka yang turun berdemonstrasi membantah Lynas adalah bangsa cina?

March 05, 2012

Lynas : Radiasinya lebih rendah dari pisang

1. Pendemo jalanan kembali sibuk dan menyibukkan diri. Mungkin kebanyakan dari meraka tak tahu menahu pun apa sebabnya mereka berdemo dan mungkin kebanyakan mereka hanya tertipu dan terpedaya.

2. Mengapa mereka mudah tertipu ? sebabnya mereka tidak mahu berfikir dan tidak mahu mendengar maklumat dari mereka yang pakar atau ahli dalam bidang tertentu. Malangnya mereka lebih rela ternganga mendengar kata-kata orang yang tak tahu apa-apa mengenai sains nuklear.

3. Akibat daripada keengganan mereka berfikir dan membaca, mereka terus ditipu malah lebih teruk penipuan ini disampaikan pula oleh mereka kepada orang lain. Sebab itulah sampai ada orang yang mengatakan kilang Lynas di Kuantan ini adalah seperti Nuklear plant sampai ada yang mengaitkannya dengan Fukushima.

4. Kilang Lynas di Kuantan adalah kilang memproses bahan rare earth (nadir bumi) yang dilombong dari Australia. Rare earth adalah elemen yang penting dan digunakan dengan meluas dalam kehidupan manusia. Magnet juga merupakan salah satu bahan yang dihasilkan dari elemen rare earth.

5. Bahan mineral yang diproses di kilang Lynas di Kuantan mempunyai radiasi yang sangat rendah dan diklasifikasikan sebagai selamat, tidak toxic dan tidak merbahaya dalam standard antarabangsa.

6. Bahan buangan dari kilang memproses ini mengandungi bahan Thorium yang amat rendah maka tahap radiasi yang rendah ini kekal dari bahan mentah, pengangkutan bahan mentah, pemprosesan dan hasil buangan.

7. Pendedadah kepada radiasi akibat daripada kilang pemprosesan Lynas di Kuantan ini adalah amat rendah iaitu dianggarkan sebanyak 0.002 mSv/year melalui penilaian yang dibuat. mSv adalah unit mili-sievert.

8. Pendedahan radiasi ini amat kecil. Sebagai perbandingan, berikut adalah beberapa pendedehan kepada radiasi yang biasa kita alami. Cuba bandingkan dengan pendedahan radiasi di Kilang Lynas di Kuantan (0.002mSv).:-

a. Tinggil berdekatan dengan nuclear plant untuk setahun - 0.01 mSv
b. makan sebiji pisang sehari untuk setahun - 0.036 mSv
c. x-ray di bahagian perut selama 0.5 saat - 0.6 - 1.7 mSv
d. CT scan di kepala selama 10 minit - 2-4 mSv
e. menghisap satu kota rokok sehari selama setahun - 13 mSv

9. Apabila dilihat perbandingan tahap radiasi dengan perkara-perkara diatas, kita akan sedar bahawa tahap radiasi dari kilang Lynas di Kuantan adalah amat kecil dan sebab itula ianya dikategorikan sebagai selamat oleh standard antarabangsa.

10. Kalau mereka yang mengikuti demo hijau di Kuantan tempohari tahu fakta sebenar mengenai kilan Lynas ini, sudah tentu mereka tidak akan turut serta terpengaruh dan terpedaya dengan penipuan-penipuan golongan tertentu yang mungkin mahu mengambil kesempatan.